selamat datang ke perkasa2u


Korban nyawa selamatkan ibu


KUALA LUMPUR: Kerana terlalu sayang ibunya, seorang jurujual sanggup berkorban sehingga menyebabkannya maut dihempap tiang lampu apabila sempat bertindak menolak ibunya jatuh dari motosikal yang dinaiki mereka bagi menyelamatkan wanita itu.

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, mangsa dikenali Mohd Azlie Mohd, 20-an, dikatakan menunggang motosikal bersama ibunya, Jamnah Johari, 45, dari rumah mereka di Salak Selatan, Sungai Besi menghala pusat bandar untuk pergi ke tempat kerja di sebuah pusat beli-belah.

Bagaimanapun, ketika melalui Jalan Loke Yew berhampiran sebuah sekolah menengah, sebatang tiang lampu secara tiba-tiba dikatakan rebah sebelum menghempap motosikal dinaiki anak beranak itu.

Panik dengan keselamatan ibunya, anak kedua daripada tiga beradik berkenaan dikatakan bertindak menolak ibunya jatuh dari motosikal berkenaan.

Dalam keadaan cemas itu, Jamnah yang dikatakan cedera selepas terjatuh dari motosikal akibat tolakan itu, hanya dapat melihat sahaja kejadian berkenaan tanpa berdaya menghulurkan sebarang bantuan.

Difahamkan, tiang lampu berkenaan tidak stabil dan bergoyang kerana ia pernah dilanggar kenderaan, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, mangsa bersama ibunya kebetulan lalu di kawasan itu ketika tiang berkenaan tiba-tiba rebah.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan mangsa bertindak pantas menolak ibunya jatuh dari motosikal sebelum tiang berkenaan menghempap dirinya sendiri.

“Kami yang melihat kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan kecemasan dan membantu mangsa,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.



Meninggal ketika baca khutbah

BUKIT MERTAJAM: Jemaah Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak, dekat sini yang mulanya khusyuk mendengar khutbah Jumaat dibacakan Basiri Jamaduin, 79, tiba-tiba tersentak apabila khatib itu jatuh terduduk sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung, semalam.

Sebelum itu, imam berkenaan baru memulakan khutbah kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila beliau tiba-tiba jatuh terduduk sambil memegang tongkat tetapi sempat dipapah jemaah masjid yang menyedari kejadian itu.

Jemaah masjid, Nazri Ahmad, 39, berkata dia berada depan mimbar ketika itu dan melihat Basiri menarik nafas panjang sebelum jatuh, manakala wajahnya bertukar pucat.

Jemaah masjid segera menghubungi ambulans untuk menghantar Basiri ke hospital, namun beliau disahkan sudah meninggal dunia.
“Hari ini adalah sejarah bagi jemaah masjid kerana menyaksikan sendiri proses pertukaran imam ketika khutbah dan ia sesuatu yang jarang berlaku. Hari ini kami belajar sesuatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kebetulan ketika kejadian, imam kedua, Salleh Othman, 61, berada berhampiran lalu mengambil alih tugas membaca khutbah mengenai aurat wanita, diikuti khutbah kedua hingga selesai dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Menurut Salleh, kali terakhir dia bersama Basiri pada minggu lalu tetapi arwah yang menjadi imam sejak 20 tahun lalu tidak meninggalkan sebarang pesan berhubung tugas membaca khutbah di masjid berkenaan.

“Cuma arwah berkata dia mungkin sudah tidak lama di dunia ini dan itu mungkin petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Salleh berkata, jarak masa dia mengambil alih tugas membaca khutbah Jumaat selepas arwah jatuh sekitar lima minit dan tempoh itu tidak menjejaskan kefarduan solat Jumaat.

Sementara itu, anak Basiri, Azman, 44, berkata bapanya memang menghidap penyakit jantung serta darah tinggi tetapi tidak duduk diam dan sering membuat kerja keagamaan selain kerja kampung.

“Sebelum ini dia sudah beberapa kali jatuh di rumah akibat diserang penyakit jantung. Hari ini (semalam) dia dalam keadaan sihat sebelum ke masjid tapi mungkin sudah tiba ajalnya,” katanya yang reda dengan pemergian bapanya.

Jenazah Basiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak jam 9 malam tadi.

www.lelakiperkasa.com